Penularan wabak Covid 19 telah memberikan impak yang besar kepada seluruh aspek kehidupan masyarakat. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau lebih dikenali sebagai PKPD yang dilaksanakan oleh kerajaan mendatangkan pelbagai kesan kepada anggota masyarakat yang terlibat. Hal ini dikatakan demikian adalah kerana peraturan yang rigid semasa PKPD dilaksanakan serta pengalaman yang terjadi sudah pasti memberi makna yang tersendiri kepada setiap orang yang terlibat. Baru–baru ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dikenakan PKPD oleh kerajaan memandangkan kawasan tersebut mempunyai kumulatif kes positif Covid 19 yang agak tinggi.
           Salah seorang mahasiswi UTM, Nurlaila Binti Syamsul Bahar, 27 , pelajar Phd bagi kursus Kejuruteraan Gas ada menyatakan bahawa PKPD yang dikenakan menyebabkan segala fasiliti UTM ditutup dan situasi ini secara tidak langsung mengakibatkan perkembangan penyelidikan yang dilaksanakan oleh pelajar terbantut. Dalam masa yang sama, Nurlaila turut menekankan bahawa pengalaman dikuarantinkan semasa PKPD memberikan sedikit tekanan kerana tidak boleh bergerak keluar dari kawasan UTM namun dalam masa yang sama, ianya mengajar dirinya untuk menjadi seorang yang lebih rasional serta tabah.
           Aslan Bin Saripudin, 23 tahun dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan pula menyatakan bahawa pelaksanaan PKPD menyebabkan dia terpaksa belajar secara bersemuka semula. Pada mulanya, dia berasa sukar untuk beradaptasi kerana tinggal berseorangan namun UTM sentiasa memberikan bantuan kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dengan PKPD. Aslan menegaskan bahawa PKPD mempunyai kebaikannya yang tersendiri dalam membendung penularan wabak berbahaya ini.
           Bagi salah seorang kakitangan UTM pula, Muhammad Marzuqi Bin Zainal Abidin yang diarahkan bertugas di UTM sepanjang PKPD mengakui bahawa pada awalnya dia terkejut bila mengetahui PKPD akan dilaksanakan di situ. Perkara pertama yang dilakukannya ialah membeli barangan dapur dan PKPD menyebabkan aktiviti harian terbantut. Namun dalam masa yang sama, dia mengatakan bahawa PKPD menyebabkan banyak masanya terluang untuk keluarga dan mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.
Situasi PKPD ini tidak sama untuk semua orang kerana latar belakang pekerjaan dan ekonomi yang berbeza. Namun yang pasti, kerajaan melaksanakan PKPD bukan secara semberono melainkan hanya selepas proses yang panjang demi kebaikan bersama. Pengajaran yang diperolehi menerusi pengalaman PKPD amat besar sekiranya dimaknai dengan sepenuh jiwa. Ianya melatih kita menjadi insan yang lebih bersyukur dan redha dengan ketentuan ilahi. Semoga mereka yang terlibat dengan PKPD tabah dan tetap kuat dalam menjalankan kehidupan seharian.