Audit Dalaman MS ISO/IEC 17025:2017 telah berjaya dilaksanakan pada 21 hingga 22 April 2025 di Makmal Penyelidikan Universiti Industri (University Industry Research Laboratory, UIRL). Audit ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UIRL dalam memastikan pematuhan kepada standard kualiti serta penambahbaikan sistem pengurusan makmal secara berterusan.
Bagi audit kali ini, UIRL telah diwakili oleh Dr. Zaidah Binti Rahmat, yang menjalankan fungsi sebagai Pengarah Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) dan juga selaku Pengurus Kualiti UIRL. Manakala Prof. Madya Dr. Chua Lee Suan dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga telah dijemput sebagai panel auditor.
UIRL kini diiktiraf di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM), (SAMM 1018), bagi skop pengujian kimia. Pematuhan kepada MS ISO/IEC 17025:2017 merupakan bukti komitmen UIRL dalam mengekalkan kecekapan teknikal dan menghasilkan keputusan pengujian yang diiktiraf.
Objektif pelaksanaan audit dalaman ini adalah untuk:
1. Memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan sistem pengurusan dan aktiviti teknikal seperti yang digariskan oleh JSM.
2. Menilai keberkesanan sistem pengurusan kualiti yang sedang dilaksanakan dan memastikan ia mencapai objektif yang telah ditetapkan.
3. Menambah baik proses dan kecekapan makmal dengan mengenal pasti peluang penambahbaikan dalam operasi makmal, termasuk dalam aspek teknikal dan pengurusan, bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kerja.
UIRL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pelanggan atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap perkhidmatan kami. Komitmen pelanggan menjadi inspirasi kepada UIRL untuk terus memperkukuh sistem kualiti, meningkatkan keberkesanan operasi, dan menyediakan perkhidmatan yang unggul pada setiap masa.